12 Ogos 2009

Usah alah amukan anak

PERNAHKAH berdepan situasi anak berguling di pusat beli-belah apabila kehendaknya tidak dipenuhi? Atau si anak mula membuat perangai apabila anda sibuk melayan tetamu yang ramai di rumah?

Sebagai anak, mereka lazimnya tidak peduli perasaan ibu bapa biarpun ramai berpandangan agak sinis melihat keadaan sedemikian.

Apa yang difikirkan si anak cuma meluahkan rasa marah, geram dan kecewa kerana kehendaknya tidak dipenuhi. Oleh kerana malu, ada ibu bapa memenuhi kehendak si anak dengan harapan mampu meredakan ketegangan.

Ada kalanya kesabaran ibu bapa turut teruji dengan tingkah laku si anak yang pasti memeningkan kepala. Tidak tahan dengan sikap melampau anak, segelintir ibu bapa pula melampiaskan rasa marah melalui pelbagai cara antaranya, berteriak atau menempeleng anak tanpa rasa simpati.

Apapun, pengetahuan untuk mengendalikan anak ketika mereka mengamuk memang perlu jika tidak mahu keadaan itu berterusan.

Bahkan, emosi anak juga perlu dipelajari kerana tindakan yang keras dikhuatiri akan menjejaskan pertumbuhan diri atau psikologi dirinya.


Mengawal tabiat anak mengamuk boleh dilakukan menerusi pelbagai cara, antaranya:

Mengalih perhatian anak apabila mereka menunjukkan tanda hendak mengamuk misalnya muka anak kemerahan atau mula hendak menangis.

Keadaan ini membolehkan ibu atau bapa tidak terlalu beremosi untuk menangani anak berkenaan.

Apabila si anak mula membuat perangai, si ibu pula menangis. Melihat ibunya menangis, anak itu mungkin bertanya keadaan ibunya itu.

Si ibu pula boleh menjawab, dia menangis kerana anaknya yang baik meragam. Jawapan itu boleh membuatkan si anak berhenti meragam lalu mungkin terus memeluk dan mencium ibunya.

Cara ini mungkin boleh dilakukan si ibu untuk memujuk anak yang menangis dan meragam.

Tenang menghadapi kerenah anak. Baca surah al-Inshirah untuk menenangkan diri sendiri.

Berdoalah supaya Allah berikan kekuatan minda dan jiwa untuk menjadi ibu yang baik, sabar dan penyayang. Berdoa untuk anak dan tiupkan di ubun-ubunnya dengan penuh kasih sayang.

Elak daripada memarahi atau menjerit pada anak kerana ia tidak akan membantu. Berbual dengan anak dan terangkan perkara yang tidak dapat dilakukannya.

Jika anak mengamuk kerana tidak dapat melakukan sesuatu tugasan atau permainan, cuba beri tugasan atau permainan lebih mudah serta bantu anak untuk mencapai objektifnya. Memberi pelukan dan ciuman kasih sayang juga membantu anak tenang semula.

Jika anak terus mengamuk, cuba jangan peduli dan tinggalkannya sebentar.

Dr Hugh Jolly dalam bukunya, A Book of Child Care menyatakan, ketika anak mengamuk jangan perhatikan. Cuma pastikan anak selamat kerana ada budak yang akan mencederakan diri sendiri seperti menghantuk kepala ke lantai apabila mengamuk.

Ada juga yang menjadi sesak dan sukar bernafas gara-gara cubaannya mendapatkan sesuatu tidak dipedulikan. Mungkin apabila tidak diendahkan, dia akan sedar dengan sendiri bahawa perbuatannya salah.

Apabila anak berhenti mengamuk, berbicara dengan mereka mengenai perangainya yang tidak elok serta sebab permintaannya tidak boleh dipenuhi.

Tegas dan elakkan daripada mengalah dengan kehendak anak dan memenuhi permintaannya yang tidak wajar kerana kanak-kanak memang bijak. Sekali kita mengalah apabila mereka mengamuk, anak tahu kelemahan orang tuanya dan akan mengamuk setiap kali keperluannya tidak dipenuhi. Selain itu, jika dilayan, jangka masa mengamuk akan lebih panjang.

Pendekatan tidak peduli mungkin boleh mengajarnya tidak mengulangi perbuatan itu. Selepas dua tiga kali anda tidak memenuhinya, dia tidak akan mengamuk lagi.

Sanggupkah kita sebagai ibubapa untuk bersikap setegas ini?
Atau pun, mampukah kita untuk melaksanakan tip-tip diatas?
Tepuk dada, tanyalah pada hati.....semoga kita menjadi ibubapa
yang dapat melaksanakan amanah Allah dengan sepenuh hati
dan sesempurna yang mungkin.

Sumber : Metro

1 ulasan:

Yan berkata...

macam ade baca artikel ni baru2 ni.. tp kat mane ekk.. kt blog ni jugak ke????? ermm lupe ah... heheh